Isnin, 20 Oktober 2008

Wang - Kedah (Alor Setar) OKT

ALOR STAR: Dalam tempoh tidak sampai 20 minit, sekumpulan 10 lelaki bersenjatakan parang menyamun kedai akuarium dan tiga orang membabitkan wang tunai RM4,000, barang kemas dan sebuah telefon bimbit di Alor Janggus dekat sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rejab, berkata mulanya, kumpulan lelaki bersenjatakan parang itu menaiki dua kereta Mercedes Benz, sebuah Honda CRV dan sebuah kereta Proton menyamun sebuah kedai akuarium kira-kira jam 4.50 petang.

Beliau berkata, suspek yang dipercayai berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun menutup sebahagian muka dengan sapu tangan.

Mereka menyamun wang tunai RM4,000 serta sebuah telefon bimbit bernilai RM1,000.

“Peniaga kedai akuarium yang juga adik-beradik berusia 42 dan 44 tahun itu tergamam menyaksikan kejadian itu.

“Ketika kejadian, terdapat seorang pelanggan di kedai itu. Dia dan peniaga berkenaan tidak dicederakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Ghafar berkata, kumpulan penjenayah terbabit kemudian menyamun seorang lelaki di depan kedai itu, tetapi membabitkan wang tunai yang sedikit.

“Kira-kira 10 minit kemudian, mereka menuju ke sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian terdahulu.

“Di situ mereka menyamun seorang wanita berusia 34 tahun dan seorang warga emas yang sedang berbual.

“Kedua-dua wanita terbabit kerugian kira-kira RM3,600 apabila penjenayah melarikan barang kemas termasuk rantai, cincin dan telefon bimbit,” katanya.

Katanya, kumpulan penyamun itu dipercayai menggunakan parang hanya untuk menakut-nakutkan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun beramai-ramai.

Beliau meminta sesiapa yang menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kota Star di talian 04-7321222 untuk membantu siasatan. - Sumber

0 Ulasan: