KLANG: Seorang pengedar gas yang menghantar teman wanitanya ke sebuah rumah kedai di Taman Sentosa di sini, maut ditetak lebih 10 tetakan termasuk di muka, pagi semalam.Dalam kejadian jam 6 pagi itu, G Morgan, 27, diserang sekumpulan lelaki bersenjata tajam selepas terkepung di bahagian belakang rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusuf, berkata serangan dipercayai bermotifkan dendam berdasarkan kesan kecederaan di tubuh mangsa.
“Mangsa menghantar teman wanitanya ke rumah kedai tiga tingkat itu tanpa menyedari diekori beberapa lelaki.
“Mangsa sempat melarikan diri ke bahagian belakang rumah kedai itu, tetapi terkepung sebelum ditetak dengan lebih 10 tetakan,” katanya di sini, semalam.
Menurut Mohamad, penjenayah kemudian berlalu pergi, tetapi tidak mencederakan teman wanita lelaki terbabit yang menyewa di sana.
Polis tidak menemui sebarang senjata digunakan dalam serangan itu, tetapi percaya ia membabitkan senjata tajam berdasarkan kesan tetakan terbabit.
“Mungkin ada perkara tertentu membabitkan mangsa dengan suspek, tetapi ia belum dapat dipastikan kerana kes dalam siasatan.
“Keterangan teman wanita mangsa juga sudah diambil dan polis kini melancarkan operasi memburu kumpulan penyerang,” katanya.
Mangsa maut di lokasi kejadian akibat parah sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Rakan Cop ditalian 03-21159999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Sumber
0 Ulasan:
Catat Ulasan