Khamis, 10 Julai 2008

Gaduh - Selangor (Klang) JUL

KLANG: Empat sekawan yang baru selesai menonton wayang dan berborak di bawah pokok, tiba-tiba diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di Taman Chi Liung, di sini, menyebabkan seorang maut manakala seorang lagi parah.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam kelmarin, Tan Kah Fei, 21, yang bertugas sebagai pengurup wang maut di tempat kejadian selepas ditetak di kepala dan beberapa anggota tubuh.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof, berkata rakan mangsa, Tan Choon Kui, 26, pula patah tangan dan cedera di perut.

“Kedua-dua mangsa baru selesai menonton wayang di pusat beli-belah Bukit Tinggi, di sini, dan singgah di rumah seorang rakan mereka di tempat kejadian.

“Empat sekawan itu kemudian berbual di bawah pokok, di halaman kediaman berkenaan sebelum didatangi enam lelaki menaiki tiga motosikal,” katanya di sini, semalam.

Keenam-enam lelaki terbabit yang bersenjatakan parang terus menyerang empat sekawan itu. Dua rakan mangsa melarikan diri ke bahagian depan rumah dan berjaya menyelamatkan diri.

Dua mangsa itu melarikan diri ke bahagian belakang rumah tetapi dikepung kumpulan penyerang.

“Kedua-duanya gagal mempertahankan diri dan ditetak berulang kali selepas dikepung. Sejurus kemudian, penyerang melarikan diri.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa adalah orang suruhan ceti haram dan kejadian serangan itu membabitkan pergaduhan antara kumpulan tertentu,” katanya.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Rakan Cop ditalian 03-21159999 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - Sumber

0 Ulasan: