Ahad, 6 Julai 2008

Barang Kemas - Melaka (Kampung Jawa) JUL

MELAKA: Sekumpulan empat lelaki bersenjata parang melarikan tiga dulang barang kemas termasuk permata dianggarkan bernilai RM200,000 dari sebuah kedai emas selepas mengugut pemiliknya, di Jalan Kee Ann, Kampung Jawa, di sini, pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Asisten Komisioner Zainal Abidin Kasim, berkata kejadian kira-kira jam 10 pagi ketika pemilik kedai emas berkenaan baru 10 minit memulakan operasi perniagaannya.

Katanya, siasatan awal mendapati seorang daripada empat perompak yang memakai topi keledar itu meluru ke dalam kedai berkenaan, sebelum memecahkan kotak kaca pameran menggunakan tukul besi dan melarikan tiga dulang barangan kemas sambil disaksikan dua pelanggan yang kebetulan berada di situ.

"Perompak dipercayai warga tempatan itu sempat mengarahkan pemilik kedai dan dua pelanggan terbabit mendiamkan diri tetapi tidak mencederakan mereka. Ketika melakukan rompakan, dua lagi rakannya menunggu di luar kedai menggunakan dua motosikal, manakala seorang lagi mengawal di pintu utama.

"Kejadian berlaku dengan pantas dan perompak hanya mengambil masa seminit melarikan barang kemas yang dipamerkan. Daripada siasatan awal, seorang daripada perompak berkenaan dipercayai berjalan tempang dan semuanya berkulit gelap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, gerakan memburu kumpulan berkenaan sudah dilancarkan sejurus kejadian dan tidak menolak kemungkinan semua terbabit adalah warga tempatan.

Zainal meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai kumpulan lelaki itu menghubungi balai polis berdekatan atau talian Rakan Cop 06-2851999. - Sumber

0 Ulasan: