Jumaat, 27 Jun 2008

Wang - Selangor (Shah Alam) JUN

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pelajar dengan bersenjatakan dua bilah parang membabitkan kerugian RM5,000.

Tertuduh, Purwanto, 36, dari Taman Damai Utama, Kuala Kubu Bharu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azimah Omar.

Mengikut pertuduhan, Purwanto didakwa bersama-sama tiga orang yang masih bebas melakukan rompakan bersenjatakan dua bilah parang terhadap Syafiq Hassan, 17.

Dia dituduh merompak dua unit komputer riba, barangan kemas, wang tunai bernilai kira-kira RM500, sebuah telefon bimbit jenis Nokia dan tiga utas jam tangan dengan jumlah kerugian bernilai RM5,000.

Purwanto dituduh melakukan perbuatan itu di rumah lot 197, Jalan 4, Taman Ampang Indah, Kuala Kubu Bharu, pada jam 4.30 pagi, 9 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Penolong Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff.

Terdahulu pihak pendakwaan membantah jaminan diberikan kepada tertuduh kerana warga asing, selain pernah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan sebelum ini selepas didakwa mengikut Akta Imigresen.

Mahkamah menetapkan 25 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam. - Sumber

0 Ulasan: