Selasa, 3 Jun 2008

Gaduh - Negeri Sembilan (Seremban) | JUN

SEREMBAN: Seorang penyelia ladang kelapa sawit yang mencari tiga pekerja Myanmar tidak hadir bekerja, terperanjat apabila mendapati ketiga-tiga mereka mati dalam keadaan mengerikan bergelimpangan darah, dipercayai ditetak ketika sedang tidur di sebuah rumah dalam kawasan ladang di Kampung Ulu Klawang, Jelebu, petang kelmarin.

Penyelia berkenaan memasuki rumah berkenaan selepas mengesyaki sesuatu berikutan panggilannya tidak bersahut dan pintu rumah tidak berkunci.

Mayat mangsa yang berusia antara 20 hingga 30 tahun ditemui kira-kira jam 2 petang sebelum dimaklumkan kepada pengurus ladang yang kemudian menghubungi polis.

Polis tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditetak berpunca daripada salah faham dengan seorang pekerja ladang terbabit.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Zazali Hashim, berkata siasatan awal mendapati semua mangsa mempunyai kesan tetakan di leher dipercayai menggunakan parang.

“Ketiga-tiga mangsa ditemui terlentang dengan seorang di atas katil, seorang di atas lantai dan seorang lagi di tepi dinding rumah dengan kesan tetakan di leher dan seorang daripada mereka turut mempunyai kesan hentakan di kepala.

“Kami mendapati tiada kesan pergelutan dalam rumah berkenaan serta tidak menolak kemungkinan mereka diserang ketika sedang tidur dan dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui,” katanya selepas Majlis Serah dan Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri, di sini semalam.

Pada majlis itu, Zazali yang memangku jawatan itu menyerahkan tugas kepada Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh sambil disaksikan Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh.

Zazali berkata, pihaknya percaya pembunuhan itu dilakukan seorang rakan mangsa yang sudah menghilangkan diri berpunca daripada perselisihan faham.

“Tempat tinggal mangsa terletak di bawah bukit dan jarak rumah jiran yang hampir dengan kediaman mereka kira-kira 100 meter, jadi jiran tidak mendengar kekecohan yang berlaku di rumah berkenaan.

“Kami juga mendapati dua daripada mangsa baru bekerja dua minggu dan seorang lagi dua hari di ladang berkenaan, manakala suspek yang juga rakan mereka tidak bekerja. Kami percaya suspek masih berada dalam negara ini,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga mayat mangsa dihantar ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan identiti mereka.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Sumber

0 Ulasan: