Sabtu, 24 Mei 2008

Kenderaan - Kuala Lumpur (Kajang) MEI

KAJANG: Sekumpulan pemandu lori yang sedang lena diulik mimpi tersentak apabila diserang penjenayah bersenjatakan parang berhampiran sebuah kilang di Semenyih di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam, tiga pemandu lori membawa muatan minyak sawit mentah itu ‘ditawan’ penjenayah terbabit.

Suspek melarikan dua lori penuh dengan muatan minyak sawit mentah selepas mengikat pemandunya dan meninggalkan mereka di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakarudin Che Mood, berkata pemandu lori terbabit membuat laporan polis beberapa jam kemudian selepas berjaya membuka ikatan.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati lori membawa muatan minyak sawit mentah itu baru tiba dari Kelantan dan Terengganu beberapa jam sebelum itu.

“Mereka tiba di kilang berkenaan jam 11 malam dan tidur tidak jauh dari premis itu kerana tidak dapat masuk ke kilang berikutan sudah malam.

“Ketika nyenyak tidur, sekumpulan lelaki bersenjatakan parang memecahkan cermin lori dan mengikat pemandunya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pemandu lori itu bagaimanapun tidak dicederakan penjenayah terbabit.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan operasi memburu suspek sedang dilakukan.

Difahamkan, minyak sawit dalam kedua-dua lori yang dilarikan penjenayah itu dianggarkan seberat 72 tan metrik bernilai kira-kira RM80,000.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-87362222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Sumber

0 Ulasan: