Isnin, 26 Mei 2008

Gaduh - Kuala Lumpur (Bangsar) | MEI

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang lelaki yang mahu bertemu teman wanitanya berakhir dengan tragedi apabila dia mati selepas diserang dua lelaki bersenjatakan parang dan kayu, di Jalan Limau Manis, Bangsar, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Govinden Singh, 27, berasal dari Sentul yang mengalami luka di seluruh badan akibat dibelasah, mati ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa yang juga seorang penganggur dikatakan dalam perjalanan ke rumah teman wanitanya di Jalan Maarof, Bangsar.

Bagaimanapun, ketika mahu menuju ke rumah teman wanitanya, dia dikatakan berhenti di tepi jalan sebelum dihampiri dua lelaki yang menaiki kereta.

Menurut jurucakap polis, mangsa dibelasah teruk dengan parang dan kayu oleh kedua-dua suspek di tepi jalan berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan dan luka akibat dipukul dengan kedua-dua senjata berkenaan di seluruh badannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Polis sudah mengambil keterangan teman wanitanya dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau SMS PolisKL di 32728 atau pergi ke balai polis berhampiran,” katanya. - Sumber

0 Ulasan: