PONTIAN: Warga emas yang mati dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Tengah, Teluk Kerang di sini, Khamis lalu dikatakan tidak mudah mengalah untuk menyelamatkan harta bendanya dengan melawan dua perompak bersenjata parang panjang, sabit dan pisau.
Bagaimanapun, mangsa Tan Poh Choo, 62 akhirnya tumpas apabila dia dipercayai dicekik penjenayah terbabit yang melarikan diri dan pulang ke rumah masing-masing dengan hasil rompakan dibahagikan sesama mereka.
Namun penjenayah tidak sempat diraikan apatah lagi menikmati hasil samun apabila polis melalui hasil maklumat dan pemantauan menyelesaikan kes itu dalam tempoh kira-kira 48 jam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner II Amer Awal, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa yang tinggal berseorangan terpaksa menggunakan tongkat mempertahankan diri.
Bagaimanapun, beliau tewas dalam pergelutan itu dan laporan bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Pontian mendapati punca kematian warga emas itu akibat dicekik.
Katanya, selepas menerima laporan penemuan mayat mangsa, sepasukan polis menjalankan siasatan di rumah mangsa dan mendapati rumah itu digeledah, dipercayai bermotifkan samun.
"Satu pasukan khas ditubuhkan untuk menjejaki penjenayah dan hasil maklumat, kami menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di dalam kampung sama dengan rumah mangsa pada awal pagi Ahad lalu.
"Hasil soal siasat, kami menahan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun di Kampung Sawah, Teluk Kerang, pada kira-kira jam 1.30 pagi," katanya.
Menurutnya, hasil tangkapan suspek di dua rumah berbeza itu, polis turut merampas sebahagian barangan yang disamun di rumah mangsa seperti kunci kereta, dipercayai milik anak saudara mangsa yang bekerja dan tinggal di Singapura, seutas rantai kaki, seutas rantai leher, tiga bentuk cincin, wang RM470 dan kereta Perodua Kancil 850 EX.
Selain itu, katanya, polis turut menemui sebilah parang panjang berukuran 72 sentimeter, sebilah sabit sepanjang 65 sentimeter dan sebilah pisau sepanjang 19.5 sentimeter di dua rumah suspek.
Dua suspek itu, katanya, kini ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan ditahan reman bagi membantu siasatan dari 2 hingga 8 Disember ini.
Kertas siasatan, katanya, akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membolehkan seseorang itu dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Semalam, akhbar ini melaporkan polis menahan dua penganggur dalam tempoh 48 jam dan percaya dapat membantu menyelesaikan kes pembunuhan seorang warga emas di Kampung Tengah, Teluk Kerang di sini.
Kejayaan berdasarkan maklumat dan siasatan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Dareah (IPD) Pontian itu turut berjaya menemui semula barangan mangsa yang di samun termasuk kereta Perodua Kancil. -
Sumber